Latest Update :

Terengganu FA - Penyu Idam Liga Super

Thursday, December 29, 2011

Suka Artikel ini? Klik


TIDAK pernah merangkul gelaran juara dalam Liga Super sejak mula diperkenalkan pada 2004, naib juara musim lalu, Terengganu kini mengi­dam untuk mengecapi gelaran tersebut sekali gus memecah rekod pencapaian pasukan.



Meskipun tidak terlalu meletakkan harapan tinggi dalam liga teratas Liga Malaysia itu, pengendali skuad Penyu, Mat Zan Mat Aris tetap menjadikan sasaran tersebut sebagai keutamaan dalam merancang strategi untuk musim depan.



“Jika di atas kertas, memang kita mahukan kejuaraan tersebut memandangkan Terengganu masih belum pernah menjulang piala Liga Super, walaupun dua pemain pasu-kan, Abdul Hadi Yahaya dan Mohd Ashaari Shamsuddin berjaya menjulang anugerah Kasut Emas untuk dua tahun berturut-turut.



“Namun begitu, kita tidak mahu menjadikan harapan tersebut hanya angan-angan kosong, sebaliknya akan berusaha lebih kuat untuk memastikan gelaran tersebut menjadi milik Penyu,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.



Melihat banyak perbezaan dalam musim depan berbanding musim lalu, jurulatih berusia 53 tahun itu masih belum menetapkan siapa yang bakal diletakkan dalam kesebelasan utama untuk memulakan misi mencari kejuaraan yang bakal bermula 13 hari lagi.



“Saya sudah ada bayangan pemain yang berkemungkinan akan dimasukkan sebagai pemain utama, namun masih banyak yang perlu diuji memandangkan kesemua pemain menunjukkan komitmen yang sangat baik terutama ketika perlawanan persahabatan yang lalu,” katanya.



Dalam perkembangan lain, status penyerang import dari Liberia, Francis Forkey Deo yang berjaya mencipta jaringan hatrik semasa perlawanan persahabatan menentang Perlis Isnin lalu, hanya akan diketahui selepas pertemuan persahabatan menentang Kelantan, Sabtu ini.



“Buat masa ini kita masih belum membuat sebarang kepututsan memandangkan Deo masih lagi dalam tempoh percubaan. Kita akan lihat prestasi sebenar beliau dalam perlawanan menentang The red Warriors nanti,” katanya yang turut belum berpuas hati dengan keserasian anak buahnya.


Sumber : Sinar Harian

Kongsikan Artikel Ini di :
 

© Copyright testeron 2010 -2011 | Design by Herdiansyah Hamzah | Published by Hamba Allah | Powered by Blogger.com.