Suka Artikel ini? Klik
LONDON: Didier Drogba memahat namanya dalam sejarah Chelsea apabila meledak gol ke-150 untuk kelab berkenaan kelmarin tetapi ia tidak mencukupi untuk menangkis asakan Aston Villa ketika menewaskan kelabnya 3-1 dalam saingan Liga Perdana Inggeris. Penyerang 33 tahun itu menjaringkan gol minit ke-23 menerusi sepakan penalti yang meletakkannya setanding legenda Stamford Bridge seperti Peter Osgood dan Roy Bentley.
Penyerang dari Ivory Coast membuat sepakan dari titik penalti di mana abu mendiang Osgood ditanam dan selepas menyempurnakan sepakannya, dia menunjukkan ke arah titik berkenaan sebelum melambai kepada penonton dan menghembuskan ciuman.
Hanya Frank Lampard (178), Kerry Dixon (193) dan Bobby Tambling (202) saja yang menjaringkan gol lebih daripada 150 untuk kelab London itu.
“Ia adalah gol penuh emosi untuk Drogba dan mungkin yang terakhir untuknya di laman sendiri sebelum kembali mewakili negaranya dalam saingan Piala Negara-Negara Afrika bulan depan,” kata pengendali Chelsea Andre Villas-Boas.
“Kami akan cuba berusaha membawanya untuk perlawanan menentang Portsmouth (Piala FA pada 8 Januari).” Sebelum turun menentang Villa, Drogba berkata jika dia menjaringkan gol ke-150, ia adalah hadiah Krismas untuk peminat Chelsea, tetapi kekalahan menyebabkan suasana di Stamdord Bridge berakhir dengan sorakan mengejek.
Harapan Chelsea untuk merebut kejuaraan kini semakin tipis selepas mereka tergelincir ke tangga kelima, 11 mata di belakang pendahulu, Manchester City. Masa depan Drogba di Stamford Bridge juga semakin samar selepas Villas-Boas mendedahkan perbincangan mengenai penyambungan kontrak penyerang itu belum menemui kata putus. – Reuters
sumber : bharian


