Latest Update :

Mancini tekad hancurkan United

Monday, January 9, 2012

Suka Artikel ini? Klik

LONDON - Roberto Mancini (gambar) melaungkan amaran kepada seteru utama, Manchester United selepas Manchester City tewas 2-3 pada aksi pusingan ketiga Piala FA kelmarin.

Pengurus City itu berkata, United sudah memenangi perlawanan ini tetapi mereka akan menghalang skuad The Reds Devils daripada menjuarai trofi Liga Perdana England musim ini.

Meskipun tewas di Stadium Etihad kelmarin, anak- anak buah Mancini wajar diberikan pujian berdasarkan semangat juang yang tinggi, sekali gus berjaya menjaringkan dua gol biarpun ketinggalan 0-3 dan bermain dengan 10 pemain seawal minit ke-12.

City terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas tonggak pertahanan, Vincent Kompany dilayangkan kad merah kerana mengasari pemain sayap United, Nani.

Berdasarkan persembahan tersebut, Mancini menganggap ia bakal menjadi kunci kejayaan pasukan itu dalam usaha merangkul trofi kejuaraan liga buat pertama kalinya musim ini.

"Saya rasa sikap seperti ini sangat penting buat kami (City) untuk bersaing dalam saingan liga, malah, saya juga merasakan yang kami mampu untuk bergelar juara liga.

"United memiliki skuad yang mantap dan jika kami boleh beraksi seperti mana yang kami lakukan hari ini (kelmarin) apabila berdepan mereka dengan hanya 10 pemain, kami mampu mencatat kemenangan dalam setiap perlawanan selepas ini.

"Memang saya kecewa dengan kekalahan ini tetapi apa yang penting kami telah menunjukkan watak sebenar untuk bergelar juara.

"Ketika United beraksi dengan 10 pemain menentang kami sebelum ini, mereka tewas 1-6 dalam tempoh 40 minit.

"Namun, kami hanya tewas 2-3 biarpun beraksi dengan 10 pemain dalam tempoh 80 minit," kata Mancini. - Agensi

Kongsikan Artikel Ini di :
 

© Copyright testeron 2010 -2011 | Design by Herdiansyah Hamzah | Published by Hamba Allah | Powered by Blogger.com.