Suka Artikel ini? Klik
TURUN sebagai penyandang juara Piala Malaysia musim lalu, Negeri Sembilan kini memasang impian baru untuk bergelar juara Piala Sumbangsih 2012 dalam perlawanan menentang juara tahun lalu, Kelantan 7 Januari ini.Belum berpeluang bergelar juara dalam perlawanan pembuka tirai bagi Liga Malaysia ini, pengendali skuad Jang, Azraai Khor Abdullah mengakui bercita-cita untuk mencatat rekod baru pasukan dan juga dalam kariernya sendiri.
“Setakat ini, Negeri Sembilan hanya berjaya menjadi naib johan dalam Piala Sumbangsih 2010 ketika menentang Selangor. Malah Piala Sumbangsih juga masih belum tersenarai dalam rekod pencapaian saya sebagai jurulatih walaupun semasa bersama Kedah dahulu.
“Oleh itu, pertemuan dengan juara Liga Super musim lalu ini dilihat membuka peluang kepada skuad Rusa untuk memecahkan rekod seterusnya membuka tirai musim ini dengan cemerlang,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Dalam perkembangan lain, Azraai turut menyatakan kelegaan berhubung pertukaran venue perlawanan Piala Sumbangsih yang sebelum ini dijadualkan berlangsung di Stadium Sultan Mohamad Ke-IV, Kota Baharu diubah ke Stadium Nasional Bukit Jalil ekoran masalah tengkujuh di Kelantan ketika ini.
“Bagi kami, keputusan dibuat Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), sangat dialu-alukan kerana ianya lebih mudah dan memberi peluang kepada penyokong Jang untuk turun menyaksikan perlawanan tersebut,” katanya.
sumber : sinar

