Latest Update :

Selangor FA - Nafas Baru

Wednesday, January 4, 2012

Suka Artikel ini? Klik

SELANGOR bakal tampil dengan nafas baru bagi menghadapi saingan Liga Super musim 2012 bermula 10 Januari ini dengan beberapa rombakan membabitkan pegawai dan pemain dilakukan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).
Hanya 12 pemain musim 2011 dikekalkan sambil diperkuat 12 lagi muka baru termasuk dua pemain import - Ramez Jamal Dayoub (pemain pertahanan kebangsaan Lubnan) dan Blaise Lelo Mbele (penyerang kebangsaan Congo).

Untuk barisan pegawai pula, Selangor kembali mendapatkan sentuhan Datuk Mokhtar Ahmad selaku pengurus pasukan untuk saingan 2012.

Mokhtar, Timbalan Presiden FAS sejak tahun 1998, pernah memegang jawatan pengurus pasukan Selangor dari 1998 hingga 2003 dan kini bakal dibantu Bendahari FAS, Datuk S Sivasundaram selaku penolong pengurus.

Barisan kejurulatihan pula, jawatan ketua jurulatih kini disandang Irfan Bakti Abu Salim, individu yang membawa Terengganu muncul juara Piala FA, naib juara Piala Malaysia dan naib juara Liga Super 2011.

Irfan akan dibantu P Maniam, yang seketika bergelar jurulatih Selangor pada pertengahan kempen Piala Malaysia 2011, menggantikan jurulatih ketika itu, K Devan yang meletak jawatan.

Azmin Azram Abdul Aziz pula kekal sebagai jurulatih penjaga gol, M Dharmendra sebagai jurulatih kecergasan manakala seorang lagi penolong jurulatih, Rosedy Nadzir kini dilantik sebagai ketua jurulatih skuad Piala Presiden Selangor 2012.

Lain-lain pegawai yang didaftarkan untuk skuad Selangor 2012 ialah Hamdan Hashim (pegawai media), Rosman Ibrahim (pegawai keselamatan), Halimee Yusof (fisioterapis), Othman Saad (tukang urut) dan Rahim Mohamad (kitman).

Bagi senarai 24 pemain yang didaftarkan pula, 12 pemain dikekalkan ialah Fairul Azwan Shahrullai, Razman Roslan, Asraruddin Putra Omar, Nasriq Baharom, Safiq Rahim, Bunyamin Umar, P Gunalan, Amri Yahyah, Azidan Sarudin, Amirulhadi Zainal, Fitri Shazwan Raduwan dan Fazilidin Khalid.

Manakala 12 pemain baru yang dibawa masuk ialah 10 pemain tempatan - Hasmarul Fadzir Hassan (Felda United), Adib Aizuddin Ab Latif (Johor), Solihin Kanasian (Kelantan), Famirul Asraf Sayuti (Pahang), K Gurusamy (Harimau Muda A), Khairil Anuar Khalid (Piala Presiden Selangor), Wan Hoesne Wan Hussain (Johor FC), Norazlan Razali (Kuala Lumpur), G Jeevananthan (USM) dan R Surendren (Pahang) serta Ramez dan Mbele.

Ia bagi mengisi kekosongan ditinggalkan lapan pemain yang digugurkan - Iqbal Suhaimi, Saiful Amar Sudar, Khairul Anuar Baharom, Hardi Jaafar, D Surendran,Yosri Derma Raju, S Sritharan dan K Depan Sakwati serta dua pemain yang minta dilepaskan - Fadzli Saari dan Rudie Ramli.

Apa yang pasti, 12 pemain baru yang dibawa masuk itu lebih muda purata usianya berbanding 10 pemain yang tidak dilanjutkan khidmatnya itu, sekali gus bakal menambah lebih suntikan tenaga buat Selangor bagi saingan musim 2012.

Selangor yang akan memulakan kempen Liga Super 2012 bertemu Negeri Sembilan di Paroi, 10 Januari ini, terpaksa menggunakan Stadium Nasional, Bukit Jalil sebagai gelanggang sendiri sehingga Stadium Shah Alam siap dibaikpulih, April depan.

Lapan perlawanan pramusim sudah diharungi Selangor - menang ke atas Sime Darby 2-0, MP Muar 5-0, PDRM 3-1, MP Muar 2-1, Johor 4-1, tetapi tewas 0-2 kepada Johor FC sebelum bangkit menewaskan UiTM 7-0 diikuti seri 0-0 dengan NS Betaria.

Selangor akan bertemu Pos Malaysia pada aksi terakhir pramusim di Stadium MBPJ, Kelana Jaya, 3 Januari ini.

Musim lalu, Selangor menamatkan saingan Liga Super di tangga ketiga di belakang Kelantan dan Terengganu, kandas di separuh akhir Piala Malaysia dan separuh akhir Piala FA.
Semoga The Red Giants lebih cemerlang pada 2012!

Kongsikan Artikel Ini di :
 

© Copyright testeron 2010 -2011 | Design by Herdiansyah Hamzah | Published by Hamba Allah | Powered by Blogger.com.