Latest Update :

Terengganu FA - Mat Zan Tagih Kudrat Muda

Sunday, January 1, 2012

Suka Artikel ini? Klik


KEPULANGAN tiga bekas pemain skuad Harimau Muda A ke pangkuan Terengganu dilihat mampu memperkuatkan pasukan tersebut bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga-M) yang akan bermula 7 Januari ini.


Mohamad Muslim Ahmad dan Mohd Faizal Muhamad yang beraksi di posisi pertahanan sementara Abdul Shukor Jusoh di posisi tengah kembali menyertai skuad Penyu selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) melepaskan mereka daripada skuad Harimau Muda A setelah usia mereka melebihi 23 tahun.

Ketua Jurulatihnya, Mat Zan Mat Aris menyifatkan pengalaman dimiliki oleh tiga pemain tersebut dapat membantu skuad Peteh menghadapi saingan liga domestik selain Kejohanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang akan bermula awal Mac nanti.

“Jelas mereka memiliki pengalaman luas ketika mewakili skuad Harimau Muda A dan saya percaya kehadiran mereka dapat menyuntik kekuatan pasukan terutamanya di bahagian pertahanan dan tengah.

“Daripada segi prestasi yang ditonjolkan, saya cukup berpuas hati dengan komitmen mereka sepanjang mengharungi beberapa siri perlawanan persahabatan sebelum ini.

“Malah mereka dilihat mudah menyesuaikan diri dengan rakan sepasukan yang lain walaupun baru menyertai Terengganu,” katanya.

Dalam pada itu, bekas pengendali pasukan KL Pos Malaysia FC pada musim ini turut menyifatkan pasukan barunya itu tidak sesekali gentar menghadapi saingan Liga-M meskipun terpaksa menggunakan tenaga seorang pemain import, Muhammadou Suamarez dari Gambia sehingga April ini.

“Itu bukan masalah besar dan saya tidak gusar memikirkan perkara itu. Meskipun kami hanya dapat gunakan seorang pemain import namun saya masih percayakan kemampuan pemain-pemain tempatan.

“Prestasi pemain tempatan sepanjang musim ini cukup memberangsangkan dan saya percaya dengan barisan pemain yang ada, kami mampu memberikan saingan sengit kepada pasukan lain,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mat Zan turut mengesahkan bekas penyerang Kelab Al-Ahly yang beraksi dalam Liga Mesir, Francis Forkey Doe dari Liberia sudah mengikat kontrak dengan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) untuk beraksi bersama pasukannya bagi Kejohanan Piala AFC.

Sumber : Sinar

Kongsikan Artikel Ini di :
 

© Copyright testeron 2010 -2011 | Design by Herdiansyah Hamzah | Published by Hamba Allah | Powered by Blogger.com.