Suka Artikel ini? Klik
KEPUTUSAN Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) melarang dua tenaga import dari Brazil beraksi untuk Johor FC, bakal menyaksikan kelab itu menjadi satu-satunya pasukan Liga Super yang mempertaruhkan hanya kelibat pemain tempatan bagi musim 2012.
Kedua-dua pemain import berkenaan, Tito Fernando Da Silva dan Tiago Lima Leal didapati tidak memenuhi syarat FAM yang menetapkan setiap pemain dari negara Amerika Latin perlu beraksi di Liga Divisyen Dua ke atas.
Keputusan itu nyata amat memeritkan buat skuad yang bergelar Lebah kerana pada awalnya mereka tampak berpuas hati dengan mutu permainan kedua-dua pemain itu, tapi pengurus pasukan, Wan Nizam Wan Omar kini terpaksa menerima hakikat tiada kudrat pemain import buat pasukannya.
“Nampaknya keputusan Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM adalah muktamad. Jadi Johor FC terpaksa akur dan perlu bersiap sedia beraksi tanpa pemain import, sebaliknya menggunakan khidmat pemain tempatan 100 peratus.
“Kedua-dua pemain import itu sudah serasi dengan corak permainan Johor FC, tapi apakan daya hasrat penyokong untuk melihat ‘samba’ tidak kesampaian.
“Proses seterusnya adalah menamatkan kontrak kedua-dua pemain berkenaan dan saya akan menghubungi ejen bertanggung jawab membawa pemain dari Brazil itu bagi menguruskan segala urusan, terutama pembayaran gaji,” katanya. Wan Nizam berkata Johor FC kemungkinan besar tidak menggunakan khidmat pemain import sepanjang musim 2012, biarpun pendaftaran akan dibuka semula April tahun depan.
Katanya, tanpa kelibat dua tenaga import itu, Johor FC akan bergantung kepada kelincahan Azi Shahril Azmi dan Mohd Fauzi Shaari bersama Khairul Ismail yang mengemudi jentera tengah bagi menggantikan tempat Da Silva.
Tempat Leal di posisi serangan akan diambil alih Mohd Harris Safwan Kamal dan Mohamad Zamri Chin selain tonggak lama Eddy Helmi Manan dan Mohd Riduan Maon.


